Bukan 38, 21 Orang Didakwa Rogol 2 Remaja di Ketereh
KOTA BAHRU – Polis Kelantan mengesahkan hanya 21 lelaki yang terbabit dengan kes rogol dua remaja di Ketereh pada 20 Mei lalu dan bukannya 38 orang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata polis
percaya kedua-dua mangsa dirogol berulang kali oleh suspek yang sama,
lapor Berita Harian. -10/6/14

Berkaitan:
Kes Rogol di Ketereh Babit 21 Suspek, Bukan 38
[SH] KOTA BHARU - Polis menafikan dakwaan dua remaja dirogol 38 lelaki
di sebuah rumah kosong di Hutan Pasir, Ketereh pada 20 Mei lalu malah
dalam siasatan yang dijalankan, kedua-duanya dirogol bergilir-gilir 21
suspek di kawasan berasingan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, hasil
siasatan dijalankan, mangsa pertama mendakwa dirogol 13 lelaki di rumah
kosong di kawasan berasingan dan lapan lelaki di rumah salah seorang
suspek dikenali Fadil, di Hutan Pasir Ketereh yang kini masih bebas.
Manakala mangsa kedua juga mendakwa turut dirogol lapan lelaki di Hutan Pasir. - ROSALWANI CHE SOH/10/6/14
Polis Buru Lagi 7 Suspek Rogol
[Bernama] KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu tujuh lagi suspek yang
disyaki terbabit dalam kes rogol bergilir-gilir ke atas dua remaja
perempuan di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini, 20 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata mengikut
siasatan polis, mereka yang masih bebas itu berumur dalam lingkungan
20-an.
"Tindakan memburu suspek-suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jalaludin berkata hasil siasatan, polis menafikan mangsa yang berumur
masing-masing 15 dan 17 tahun, telah dirogol oleh 38 lelaki seperti yang
didakwa dalam laporan yang dibuat mereka sebelum ini.
"Bagaimanapun dipercayai mangsa telah dirogol oleh orang yang sama berulang kali," katanya.
Katanya dalam laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua mangsa pada 26
Mei lepas, dua mangsa itu menyatakan telah dirogol di dua tempat
berasingan iaitu di sebuah rumah kosong dan rumah suspek di Ketereh,
katanya.
Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian melibatkan 13
orang suspek di tempat pertama dan lapan suspek lagi di lokasi kedua
kejadian.
Melalui serbuan dan pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan
di sekitar Ketereh, polis menahan 14 lelaki dalam lingkungan 15 hingga
38 tahun, katanya.
Beliau berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap
dakwaan kes rogol bergilir-gilir membabitkan dua remaja perempuan itu.
Kes berkenaan dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan Negeri Kelantan dan
empat suspek akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 376 (2) Kanun
Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. - 10/6/14